Segala puji bagi Allah SWT atas segala limpahan nikmat dan peluang untuk beramal soleh. Bagi pihak Warga Cakna, kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peserta program Qurban & Aqiqah, Food Pack, serta Wakaf Al-Quran atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada kami untuk melaksanakan ibadah dan amal jariah sempena bulan yang penuh barakah ini.

Dengan kekuatan 8 orang delegasi, kami telah berusaha sedaya upaya menjayakan Misi Kemanusiaan dan Ibadah Qurban 1446H di bumi Somaliland, sebuah wilayah yang 100% penduduknya beragama Islam.

Walaupun misi ini menuntut pengorbanan tenaga dan masa, termasuk menyembelih 120 ekor lembu dan 139 ekor kambing, segala keletihan dan kepenatan itu terubat apabila melihat kegembiraan pada wajah penerima – saudara seagama kita yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan.

Apa yang lebih mengharukan, daging qurban yang disumbangkan oleh tuan-tuan dan puan-puan telah menjadi sumber makanan utama mereka sekeluarga, yang boleh dinikmati sepanjang tahun. Delegasi kami juga meredah cabaran, mendaki lereng dan puncak bukit demi memastikan setiap naskhah Al-Quran, sumbangan makanan asas dan daging qurban sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Kami sedar, misi kali ini mungkin tidak sempurna dan pasti ada kekurangan serta kelemahan di sana sini. Maka dengan rendah hati, kami memohon maaf atas segala kekurangan tersebut.
Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah menerima ibadah qurban dan amal jariah kita, memberikan petunjuk dalam melaksanakan segala bentuk ketaatan kepada-Nya, dan akhirnya, melayakkan kita untuk ke syurga Firdaus di akhirat kelak.
Insya-Allah, kita jumpa lagi tahun hadapan!
Sekali lagi, terima kasih atas sokongan dan kepercayaan anda semua.






