
Kami memulakan khidmat amal dengan satu motivasi diri bahawa setiap kita mempunyai peluang untuk berbakti. Oleh yang demikian berlumba-lumbalah setiap kita untuk menabur bakti selagi hayat dikandung badan.
Pertubuhan Prihatin Warga Terepinggir Terengganu (Warga Cakna) ini ditubuhkan setelah melihat masih ramai lagi golongan marhein dan terpinggir diseluruh ceruk negeri yang memerlukan bantuan. Atas dasar itu, tanpa desakan dari mana-mana pihak kami berusaha menubuhkan Warga Cakna ini demi kelangsungan fastabikul khairat.
Beberapa projek amal bakti telah pun dijalankan setelah penubuhan Warga Cakna ini. Antaranya adalah bantuan keewangan kepada pelajar miskin untuk meneruskan pengajian perubatan di Mesir. Anak-anak yang sedang belajar ditahun akhir mengadu bahawa yuran pengajian mereka semakin naik dan keluarga tidak mampu untuk menampung lebihan yuran yang perlu dibayar. Ada dikalangan mereka mencecah hutang yuran pengajian sebanyak RM50,000. Jika tidak melunaskan yuran, anak-anak yang malang ini tidak boleh menduduki peperiksaan akhir. Atas kesedaran dan prihatin akan nasib anak-anak pelajar tersebut, Warga Cakna telah melancarkan satu kutipan dana. Alhamdulillah, rakyat Malaysia sememangnya dermawan. Hasil sumbangan orang ramai itu berjaya Warga Cakna melangsaikan hutang anak-anak pelajar.
Selain dari itu wakil Warga Cakna juga turut serta dalam beberapa misi kemanusiaan di Lombok, Syria dan Palu. Sekali lagi peluang unutk menambahkan saham akhirat dibuka oleh kami pada waktu itu. Sumbangan terus disampaikan dengan jayanya.
Diperingkat dalam negeri pula, Warga Cakna telah berjaya menubuhkan projek Gerobok Rezeki, bermatlamat memberikan makanan keperluan harian kepada para miskin tegar.
Warga Cakna juga menjalinkan kerjasama erat dengan Iman Care dan Papisma dalam terus memberi sumbangan tenaga, fikiran dan wang ringgit dalam merealisasikan matlamat penubuhan NGO ini.
Semoga ahli dan relawan yang sudi menghulurkan tangan dalam Warga Cakna diberi ganjaran pahala setimbal dengan kerja-kerja amal yang dilakukan.
“BERSEGERA MELAKSANAKAN KEBAJIKAN”
Suhazeli Abdullah
Pengerusi
Persatuan Prihatin Warga Terpinggir Terengganu
(Warga Cakna)
(PPM-001-11-24062018)