ACEH TAMIANG, 18 Januari 2026 – Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dengan kerjasama PASRelief dan Warga Cakna berjaya menyempurnakan Misi 3.0 Bantuan Perubatan Banjir Aceh Tamiang yang berlangsung selama empat hari, bermula 15 Januari lalu. Misi kali ini membawa dimensi bantuan yang lebih kritikal memandangkan keadaan pascabanjir di wilayah tersebut amat membimbangkan. Berbeza dengan banjir biasa, mangsa di Aceh Tamiang kini berdepan dengan sisa banjir berupa lumpur tebal yang telah mula mengeras menjadi tanah di dalam dan di luar kediaman mereka.
Fokus Rawatan Pakar & Klinik Lapangan Sepanjang misi berlangsung, sebanyak tiga buah klinik lapangan telah dibuka di tiga buah kampung yang berbeza bagi memastikan bantuan perubatan sampai terus kepada golongan sasar.

Antara fakta utama misi kali ini:
-
Jumlah Pesakit: Hampir 1,500 mangsa berjaya dirawat dan disantuni.
-
Tenaga Pakar: Seramai 15 orang Doktor Pakar daripada pelbagai bidang kepakaran di bawah PAPISMA turun padang memberikan khidmat sukarela.
-
Bentuk Bantuan: Selain rawatan perubatan, sumbangan turut melibatkan agihan wang tunai, foodpack (pek makanan), serta penganjuran ‘Kenduri Rakyat’ bagi merapatkan ukhuwah bersama penduduk setempat.
Ujian Hebat: Rumah Hanyut Diterjang Balak Jurucakap misi menyifatkan ujian yang menimpa penduduk Aceh Tamiang sebagai sesuatu yang luar biasa hebat. Puluhan ribu rumah dilaporkan hancur dan hanyut dibawa arus deras yang turut membawa sisa balak.“Kami sukarelawan hanya mampu membantu seadanya. Tak terbayang jika dalam rumah penuh dengan lumpur keseluruhannya. Di sana, bila air surut, yang tersisa bukan sekadar basah, tetapi tanah yang mengeras,” ujar salah seorang wakil sukarelawan.
Penghargaan Buat Penyumbang Kejayaan misi ini adalah hasil keprihatinan rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan melalui Tabung Kemanusiaan PASRelief, Warga Cakna, dan PAPISMA.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Hariyanto Boimin daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Sumatera Barat atas kerjasama erat dan bantuan teknikal dalam menjayakan misi kemanusiaan ini di lapangan.
Semoga usaha kecil ini mampu meringankan beban mangsa dan mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesabaran yang tinggi buat mereka dalam menghadapi ujian yang maha berat ini.






