Che Na seorang ibu tunggal yang memelihara beberapa orang anak yang sedang membesar. Warga Cakna pernah membuat kutipan dana satu ketika dahulu kerana beliau memerlukan sebuah rumah dan sebidang tanah untuk kehidupan lebih sempurna bersama anaknya. Alhamdulillah beliau sudah pun mendirikan sebuah rumah atas tanah sendiri melalui bantuan kita semua.
Petang semalam, kami dikejutkan dengan berita rumahnya terbakar. Beliau dan anak-anaknya selamat, tetapi rumah habis dijilat api. Waktu itu beliau sedang menjual ketupat di bazar Ramadan. Itulah rutin pencarian dia sehari-hari.
Kami merasai kesedihan beliau yang ditimpa musibah ini. Dah lah hidup ibarat kais pagi makan pagi; kais petang makan petang, kini jatuh ditimpa tangga. Mujurlah ada sanak saudara yang membantu beliau untuk menumpang berteduh sehari dua ini.
Atas keprihatinan itu, Warga Cakna sekali lagi membuka uncang dana bagi membantu Che Na bagi mendirikan semula kehidupan. InsyaAllah dengan berkat Ramadan yang penuh keberkatan ini, kita semua akan diberikan ganjaran besar dalam membantu mereka yang dalam kesusahan.
Sumbangan tuan puan boleh disalurkan melalui https://www.billplz.com/danabencana. Atau masukkan ke akaun rasmi Warga Cakna 563037065007 (Maybank)
#BantuCheNa
Suhazeli Abdullah
Pengerusi Warga Cakna
2/4/2023