Sengaja saya tak ceritakan dari awal kisah team kami diserbu oleh penduduk. Dua hari berturut-turut. Hari pertama raya dan kedua semasa kami sedang ralit menyembelih lembu dan kambing.
Kali ini proses Penyembelihan dibuat di tempat penyembelihannya khusus. Sebab maklumatnya, kalau kita buat di tempat perkampungan kawasan lapang – maknanya kami tidak dapat melaksanakan dengan sempurna. Penduduk akan terus serbu dan berebut untuk dapatkan daging qurban tersebut.
Kisahnya bermula daripada hari pertama, berbaki 20 ekor lagi hingga jam 2:00 petang, penduduk yang berada di sekeliling yang ingin menerima daging tersebut sudah hilang sabar dan mereka merusuh masuk. Walaupun pintu pagar besi tetapi dengan hanya jaga satu orang saja, tak dapat mengawal mereka. Jadi kami terpaksa diarahkan keluar dengan cepat, bimbang mereka akan mencederakan team kami.
Alhamdulillah, hari kedua kami dapat melaksanakan baki sembelihan.
Begitu juga dengan hari kedua, sebaik selesai sembelih dan kami mahu keluar pagar, mereka terus menyerpa masuk. Mujur tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
_________
Sebenarnya permintaan untuk daging lembu atau kambing Qurban ini terlalu tinggi di sini. Mereka hanya dapat makan sekali sahaja dalam setahun bagi penduduk miskin. Tak nafi ada yang kaya yang dapat makan daging tiap hari, cuma penduduk miskin lagi ramai. Ikutkan statistik daripada negara mereka 54% kalangan mereka adalah fakir miskin dan ia mencecah kepada 78% apabila masuk ke pedalaman.
Permintaan yang tinggi dari penduduk miskin berbanding dengan daging korban yang hanya 240 ekor lembu dan 193 ekor kambing sahaja. Masih lagi tidak memenuhi keperluan seluruh penduduk yang berada di sekeliling tempat kami sembelih.

Rasa sedih dan hiba seketika sebab tidak mencukupi. Namun itulah sedaya upaya yang kita mampu bantu mereka.Semoga Allah memberi memberi keampunan kepada kita semua di atas kealfaan – ramai lagi manusia di penjuru dunia ini yang terabai, terpinggir dan tidak mampu kita santuni semuanya.
Astaghfirullahal adzim.
Suhazeli Abdullah
Misi Qurban Somaliland
9/6/2025
#MisiQurban telah sempurna dengan jayanya
#CaknaQurban






